I LOVE TO SHARE MY TRUE LIFE, TRUE LOVE, TRUE MOTIVATIONAL, INSPIRATIONAL, TRUE HEALTH, TRUE BEAUTY WITH THE TRUE NATURAL SUPPLEMENTS..
WELCOME HERE AND THANK YOU FOR VISITING SUPERBGOJES.BLOGSPOT.COM

Monday 31 August 2015

Konsep syura menurut Islam

Islam memberi penekanan khusus sehingga sebuah surah diberi nama oleh Allah s.w.t. dengan perkataan 'Syura'. Surah ke-42 ini mengandungi 53 ayat, Makkiah. Ini bererti perintah melaksanakan syura oleh Allah s.w.t. telah bermula sebelum hijrah Rasulullah s.a.w. ke Madinah lagi.

Syura merupakan istilah yang diperkenalkan oleh al-Quran. Secara ringkas ia membawa erti sebagai amalan bermesyuarat. Ia merupakan satu proses komunikasi yang mengandungi perbincangan, perundingan, percambahan fikiran, pengumpulan dan pertukaran maklumat, pengumpulan fakta dan data serta pengumpulan dan pertukaran pelbagai idea dari setiap sudut.

Intipati daripada saripati idea yang terbaik disimpulkan menjadi keputusan. Ia merupakan keputusan majoriti dan bersama untuk mencapai matlamat iaitu kebenaran. Keputusan itu dilaksanakan dalam bentuk tindakan oleh setiap individu - bersama, menyeluruh dan bersepadu.



syura dalam islam
Mengamalkan syura bersama organisasi mahupun 
di dalam keluarga adalah amat digalakkan...


Di antara kebaikan dan kepentingan syura adalah:

* Memberi peluang penyertaan dan penglibatan ahli yang luas dalam setiap keputusan yang diambil untuk kepentingan, kebaikan dan kebajikan semua.

* Mengelakkan amalan diskriminasi dan berpuak-puak.

* Sepakatan idea adalah lebih baik daripada berpusat kepada individu dan kumpulan kecil tertentu. Sesuatu isu, cabaran, halangan dan masalah itu dapat dilihat secara menyeluruh dari pelbagai sudut dan terperinci.

* Bertanggungjawab mengurangkan kesilapan dan kesalahan dalam membuat sesuatu keputusan penting.

* Memupuk dan menerapkan nilai-nilai murni seperti sifat ikhlas, amanah dan bertanggungjawab. Setiap individu memberikan sumbangan terbaik dari segi idea dan mereka bertanggungjawab pula untuk bertindak melaksanakan keputusan itu.

* Melahirkan tindakan bersepadu dalam pelaksanaan keputusan yang telah dipersetujui bersama.

* Menghormati dan memperkukuhkan budaya ilmu, profesionalisme dan kepakaran.

* Agen pembangunan diri, keluarga, masyarakat, organisasi dan negara. Pembangunan bersepadu antara unsur kejasmanian dengan kejiwaan, individu dengan masyarakat, manusia dan alam, kebendaan dan kerohanian serta keduniaan dan keakhiratan.

* Memupuk dan memperkukuh persepakatan dan perpaduan atas dasar hormat menghormati, kasih mengasihi, muhibah dan persaudaraan (ukhuwah Islamiah).

* Organisasi mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada kakitangan. Negara pula mendapat kesetiaan dan pengorbanan daripada rakyatnya untuk menghadapi semua kemungkinan.

* Melahirkan keutuhan dan kestabilan organisasi dan negara dari segi pengurusan, politik, ekonomi dan sosial.

* Melahirkan kemakmuran, kesejahteraan dan keharmonian individu, keluarga, masyarakat, organisasi, negara dan antarabangsa.

* Memperkukuhkan keutuhan, kestabilan dan kemajuan ummah selamanya.

* Mendapat keredaan Allah s.w.t.

Sementara itu, pengabaian syura membawa implikasi buruk seperti meluasnya konflik dan krisis di dalam keluarga, masyarakat, organisasi, negara dan antarabangsa. Ia juga mengakibatkan perpecahan, perbalahan dan persengketaan, di samping melahirkan amalan autokrasi dan nepotisme yang akhirnya membawa kepada kemunduran keseluruhan dan kehancuran.

Kebaikan dan kepentingan syura dan implikasi buruk akibat pengabaiannya ada di dalam ilmu Allah s.w.t. yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Lantas mewajibkannya ke atas setiap umat Islam, contohnya:

Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka. (Surah asy-Syura: 42:43).

Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (setelah bermesyuarat untuk (berbuat sesuatu) maka bertakwalah kepada Allah. Kerana Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Surah Ali Imran: 3:159).

Rasulullah s.a.w. memperkukuhkan lagi perintah Allah s.w.t. melalui as-Sunah, antaranya:

Orang yang beristikharah itu tidak pernah kecewa dan tidak seseorang yang bermesyuarat. (Diriwayatkan oleh At-Tabarini).

Barangsiapa menghendaki mengerjakan sesuatu lalu dia bermesyuarat dengan seorang Muslim yang lain maka Allah akan memberi taufik kepadanya untuk memilih yang baik baginya. (Al-Hadis).

Rasulullah s.a.w. sentiasa mengadakan perbincangan, perundingan, meminta pendapat dan pandangan serta bermesyuarat dengan para sahabat setiap kali sebelum melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang besar dan penting.

Rasulullah s.a.w. sentiasa menghormati semua pendapat, pandangan dan cadangan para sahabat tanpa mengira kedudukan mereka. Contohnya, Baginda menerima cadangan Salman al Farisi agar menggali parit (Khandak) untuk menghadapi tentera kafir Mekah di dalam peperangan al-Ahzab atau Khandak.

Asas syura yang diperjuangkan oleh Islam adalah:

Keimanan: Ia menjadi asas amalan syura dalam Islam. Niat, cara dan amalan dalam syura mestilah berasaskan kepada keimanan iaitu untuk mendapat keredaan Allah s.w.t.

Persaudaraan: Hal ini penting bagi memastikan setiap ahli mesyuarat bertimbang rasa, hormat menghormati, kasih mengasihi, ihsan, bertanggungjawab dan mengutamakan perpaduan. Contohnya cadangan yang diketengahkan mestilah wajar dan munasabah berdasarkan kepada realiti semasa, bukan mengikut perasaan, emosi dan idealisme.

Adab: Syura mesti dilaksanakan dengan penuh akhlak, etika dan adab dari pengerusi hinggalah setiap ahli. Tanpa adab, mesyuarat menjadi medan sindiran, kutukan, melepas geram, pertengkaran, perbalahan dan sebagainya.

Sesungguhnya syura memainkan peranan penting di dalam kehidupan manusia ke arah kesejahteraan, keamanan dan kebahagiaan sejagat.

Perkongsian penulisan;
Oleh: DR. MUSTAFA DAUD
Dr. Mustafa Daud ialah Profesor Madya di Sekolah Pembangunan Sosial, Universiti Utara Malaysia, Sintok.

Catitan: Semoga kita boleh mengaplikasikan sistem syura ini di dalam kehidupan kita seharian..khasnya di dalam sistem kekeluargaan... betulkan dari diri sendiri, keluarga sendiri dahulu... in shaa allah...

Salam sayang;
Elly Khalid


2 comments:

  1. banyak manfaat syura ni tp tak semua orang amalkan dalam kegiatan seharian. nice sharing elly

    ReplyDelete
  2. yes amanina... tp syura ni mmg sgt2 diperlukan..esp dlm fmly tau... setiap hari..biarkan ank2 sendiri tau apa salah mereka... apa pengajaran yg perlu diambil.. dan bukan hya utk ank2 shj kena tau apa salah mereka.. ibu ayah pun kena sama2 mengaku.. (mohon maaf...termarah..terherdik..terpukul..).. syura suami/isteri..penting gak..supaya xde rasa pendam perasaan...
    elly pun bru2 nak mengamalkan syura ni... hihiihih..

    tq sudi membaca entry elly... ;)

    ReplyDelete

Back To Top